Tarikh : 28/1/2022

(087) Che Esah Binti Hassan Meninggal Dunia 22.12.1946-28.1.2022

“PERGI TAK KEMBALI............................. ”

Tanggal 28 Januari 2022 mengejutkan ramai dikalangan anggota Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor KOPKETA apabila mendapat khabar sedih perginya Allahyarham Che Esah Binti Hassan yang meninggal dunia pada jam 4 pagi pada hari yang penuh barokah hari jumaat.

Allahyarham yang lebih mesra dengan panggilan Kak Esah meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Menurut adiknya Jamilah Hassan pada malam sebelum Allahyarham meninggal dunia, beliau ke bilik kakaknya sebagai rutin biasa memastikan segalanya galanya berada dalam kondisi baik sebelum melelapkan mata.

Jelas Jamilah, kakaknya sebelum ini tinggal di Johor Baharu dan apabila keadaan kesihatannya semakin merosot, beliau sekeluarga mengambil keputusan menjaga Allahyarham Kak Esah dan membawanya tinggal bersama di Seri Kembangan, Selangor.

Dalam pada itu menurut rakan seangkatan Allahyarham Kak Esah Pujiah Roslan, pemergian Kak Esah sangat dirasai kerana beliau sering bersama sama Kak Esah berbincang dan membuat keputusan di dalam Anggota Lembaga Koperasi ALK. Selain itu katanya Allahyarham kak Esah juga sering dijadikan rujukan apabila timbul sebarang kemusykilan di dalam koperasi.

Bagi Md Ali Ahmad pula menyifatkan pemergian Kak Esah satu kehilangan kepada Kopketa kerana sebagai orang “lama”, Allahyarham banyak memberi pandangan dan informasi serta mengetahui “selok belok” berkaitan koperasi. Lebih-lebih lagi kami berada di bawah biro yang sama iaitu biro ladang, katanya ketika ditemui di Serdang selepas upacara pengkebumian Allahyarham.

 Sementara itu sebaik menerima berita sedih pemergian Allahyarham, anggota Biro Kebajikan Kopketa yang diketuai Pujiah Roslan dan anggotanya Mohd Nawawi serta Zainun Sulaiman bergegas ke rumah adiknya Jamilah Hassan di Seri Kembangan, Selangor.

Manakala Md Ali Ahmad turut hadir mewakili anggota Kopketa.

Pada pertemuan itu Kopketa turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada ahli keluarga Allahyarham (gambar 1) dan mengadakan tahlil untuk Allahyarham.

Che Esah Binti Hassan dilahirkan pada 22.12.1946. Menjadi anggota Kopketa pada 3.4.2005, Allahyarham dipilih menganggotai Ahli Lembaga Koperasi ALK pada 30.9.2011 selama 3 bulan sebelum Kopketa digantung oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia SKM kerana masalah pengurusan. Pada Mesyuarat Agung Tahunan 2014 selepas pemilihan Allahyarham terus diberi mandat untuk meneruskan tanggungjawab sebagai ALK. Jawatannya sebagai ALK di dalam Kopketa disandang Allahyarham sehingga akhir hayatnya.

Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkanya bersama sama orang yang soleh.

Ends.... Zainun Sulaiman.

 (Jawatankuasa Maklumat Dan Komunikasi)