Lawatan 4 Hari Biro Kebajikan Ke Utara (Kedah, Pulau Pinang dan Perak)
9 hingga 12 Oktober 2022


Misi kunjungan menuju utara yang julung kali diadakan oleh Biro Kebajikan Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor KOPKETA bermula 9 Oktober lalu selama 4 hari , adalah satu tugasan yang sangat berjaya. Ia turut memberi makna dan kesan positif bagi membuktikan barisan Ahli Lembaganya terutama Biro Kebajikan KOPKETA berada di mana saja demi untuk meninjau dan mendekati anggota berusia lebih 70 tahun.


Jauh jarak perjalanan dari Selatan ke Utara bukan halangan. Biro Kebajikan KOPKETA memulakan misi ke Utara bertemu 5 anggota. Di Kulim Kedah ( seorang anggota) Pulau Pinang ( 2 ) dan Perak ( 2 ).


Dari Kluang Johor ke Kulim Kedah merangkumi kira kira 602 km jarak perjalanan danmengambil masa untuk sampai anggaran 8 jam. Pukul 5 pagi lagi Muhamad Amirudin sudahmula bergerak bersama sama Pujiah Roslan dan Mohd Nawawi. Kemudian terus menuju ke Melaka bagi melengkapkan 3 peserta misi menuju utara bersama Zainun Sulaiman.


Kata orang lautan luas kami renangi untuk mendekati anggota yang berusia lebih 70 tahun.


Sebaik tiba di Kulim kami berhenti solat zohor di Masjid At-Taufiq Ayer Merah Kulim.


Kulim sebuah daerah dan bandar Pentadbiran di selatan Kedah merupakan bandar ketiga terbesar bagi negeri itu. Kulim dipercayai dibuka sejak pertengahan abad 18 oleh orang melayu Pattani. Nama Kulim diambil sempena pokok Kulim yang tumbuh merata tempat.


Di Kulim kami bertemu Idris Mohd (C176) tinggal bersama isterinya, bagaimanapun pada hari itu isteri beliau berada di Klang kerana menjalani rawatan.Menurut beliau akibatdaripada kemalangan yang dialami pada 2013 kepantasan pergerakkannya terbatas.
Namun demikian beliau bersyukur kerana masih mampu bergerak dan dapat meneruskankehidupan tanpa bantuan pihak lain. Beliau juga mewarisi pekerjaan seperti bapanya dantempat terakhir bertugas di bu Pejabat Kontijen Polis IPK Pulau Pinang bersara pada tahun2004. Mempunyai 4 adik beradik dan beliau sebagai pemegang Amanah mewakili adik-beradik yang lain.


Beliau menzahirkan rasa syukur kerana keperihatinan anggota Biro Kebajikan KOPKETA yang sanggup jelajah jauh untuk melihat sendiri keadaan dirinya dan keluarga. Beliau juga menzahirkan hasratnya untuk berpindah ke Kluang pada satu masa nanti.


Dari Kulim Kedah kami terus menuju ke Pulau Pinang dan bermalam di sana, sebelum memulakan misi kunjungan pada keesokkan harinya.


Kemudian seterusnya dua lokasi dituju bertemu dua anggota iaitu di Bayan Baru dan Teluk Kumbar Pulau Pinang.


Bayan Baru merupakan salah sebuah hab kediaman di Bayan Lepas Pulau Pinang , di sana kami mengunjungi Khatijah Md Ibrahim (B 49) berusia 83 tahun. Beliau tinggal bersama anaknya Maimun Abdul Manan. Menurut Maimun bapanya bertugas di Tampoi selama 18 tahun dan tempat itu juga lokasi terakhir bapanya bertugas.


“Alhamdulilah ibunya Khatijah hanya mengalami masalah lutut dan mereka selesa tinggalberdua di penempatannya yang baru dibeli., demikian menurut anaknya Maimun”.Makcik Khatijah turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat bertemu dengan wakil ALK dari Biro Kebajikan KOPKETA . Beliau mengakui sudah 4 kali tidak dapat hadir Mesyuarat Agung Tahunan MAT KOPKETA kerana keadaan lututnya.


Kunjungan seterusnya bertemu anggota Zainul Alam Ismail (C116) di Teluk Kumbar Pulau Pinang.Beliau pemegang Amanah dalam Koperasi ini , yang mempunyai 5 adik beradik dan tinggal 3 daripadanya yang masih hidup. Beliau terharu dengan kedatangan kami yang sanggup menjengahnya jauh di Utara.


Dari Pulau Pinang kami meneruskan perjalanan ke lokasi terakhir di Perak untuk bertemu dua lagi anggota.


Teluk Kumbar ke Lekir jaraknya sejauh 211 km dan mengambil masa kira kira 2 jam 55 minit. Tiba di sana agak lewat senja dan kami bermalam di sana.


Hari seterusnya perancangan kami bertemu anggota Abdul Aziz Bin Alam Din (A 52), walaupun sudah berusia 87 tahun , namun Pak Cik Abdul Aziz kelihatan cergas dan sihat, cuma fizikalnya kelihatan semakin membongkok.


Tinggal bersendirian dan masih aktif dengan pelbagai persatuan. Bertemu beliau bagai dapat menceduk pelbagai pengalamannya yang telah menempuh ranjau dan duri dalam kehidupan.Pelbagai nasihat diberikannya supaya sentiasa berusaha menjaga Koperasi ini agar dapat terus bertahan dan memberi manfaat kepada anggota. Katanya bukan senang untuk menubuhkan Koperasi yang sangat dikasihinya. Walaupun sudah berusia beliau kelihatan sentiasa bersemangat dalam penceritaannya, sehinggalah satu ketika suaranya tersekat sekat dan air mata tergenang di penjuru mata apabila menceritakan mengenai kemalangan yang menimpa anaknya sekeluarga yang meranggut nyawa serentak anak, menantu dan cucunya. Kemalangan yang berlaku tidak jauh dari kediamannya memberi kesan dalam fikirannya ,namun redha dengan takdir ketentuan Allah.


Kami tinggalkan Pak cik Abdul Aziz untuk menuju ke destinasi lawatan terakhir di Slim River. Dari Lekir ke Slim River mengambil masa 1 jam 48 minit yang merangkumi 112 km. Misi lawatan terakhir bertemu anggota Derma Tasiah Binti Sutan (B 267), beliau kelihatan ceria dan mesra menyambut kedatangan kami dan tidak menyangka kami sanggup sampai ke kediamannya di Slim River.


Derma Tasiah tinggal sendirian setelah anak beliau Saiful Abdul Wahid meninggal dunia. Namun demikian makcik Derma Tasiah mempunyai jiran yang sangat prihatin dan membantu menjaga segala keperluannya. Sakit peningnya dijaga jirannya Robiah yang
tinggal bersebelahan rumah. Dengan kunjungan ke kediaman itu , berakhirlah misi lawatan kami daripada Biro Kebajikan KOPKETA .


Jauh itu bukan halangan untuk kami sampai. Misi kunjungan kami berakhir dengan jayanya. Pada ketika ini terdapat 103 anggota KOPKETA berusia lebih 70 tahun dan di antaranya masih terdapat generasi pertama yang menjadi anggota KOPKETA.. Daripada jumlah itu terdapat 64 berada sekitar Johor, 11 di Melaka, 10 di Selangor, 8 di Wilayah Persekutuan, 4 di Negeri Sembilan, masing masing 2 di Pulau Pinang dan Seorang di Kedah dan Terengganu.


Kami doakan anggota KOPKETA dan ahli keluarganya sentiasa dalam peliharaan ALLAH SWT.


Esok lusa kami sampai pula di tempat anda anggota yang lain pula. Yang jauh didekatkan yang dekat dimesrakan. Kami Biro Kebajikan sentiasa bersama anda !!!.

Ends…Zainun Sulaiman.