Lawatan Biro Kebajikan Ogos/September
23 September 2022


Takdir dan nasib manusia tidak sama ….! Ini semua ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T kepada hambaNYA . Apa yang disaksikan sepanjang tugasan menimbulkan keinsafan dan rasa sebak . Ada yang mendapat penjagaan dan pembelaan daripada keluarga , tidak kurang juga yang diabaikan.


Seruan saya, sementara ayah dan ibu masih ada , sayangi mereka seperti mereka menyayangi kita semasa kecil. Hargailah mereka sepenuh jiwa dan raga. Masa mereka untuk berada bersama kita sangat singkat . Masa ini adalah giliran kita untuk berbakti kepada ayah dan ibu. Bersama kita berusaha untuk menjaga mereka seperti “menatang minyak yang penuh”.

Hakikatnya dunia ini hanya sementara. Kesusahan, kekayaan, penderitaan hanya sementara…., dugaan Allah dalam hidup perlu dihadapi dengan redha , sabar dan solat. Moga kita mendapat rahmat kasih sayang dan keredaan Allah S.W.T.


Itu antara rumusan , pandangan dan kata kata hasil misi lawatan kasih Biro Kebajikan Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor KOPKETA mendekati anggota di luar Johor dan di Muar.

Misi lawatan disertai Zainun Sulaiman, Pujiah Roslan dan Mohd Nawawi Abd Majid.


Syukur Alhamdulilah pada 23 ogos berkesempatan bertemu dengan generasi pertama anggota Kopketa ( 111) Ismail Silong 89 tahun di kediamannya Kampung Chembong Halt, Rembau Negeri Sembilan .

Masih sihat , beliau amat gembira dan teruja menyambut kedatangan kami .Sebutan kata-katanya juga jelas dan bersemangat menceritakan kesah silamnya semasa berkhidmat sebagai anggota keselamatan dalam era perang dunia ke-dua.


Menamatkan tugas di Port Dickson Negeri Sembilan dan turut pernah bertugas di Kemaman Terengganu. Menurut penceritaannya , dulu bukan senang untuk mendapatkan duit bagi melayakkan diri menyertai Koperasi ini.

Syukur Alhamdulilah Kopketa dapat terus bertahan hingga ke hari ini, katanya dalam nada yang penuh semangat.


Menurutnya, beliau sentiasa hadir setiap kali Mesyuarat Agung Tahunan MAT Kopketa untuk mengetahui perkembagan dan isu-isu terkini apa yang berlaku.

Beliau kini tinggal bersama anaknya dan masih mampu menjalani aktiviti harian secara
normal.


Di Selangor pula bertemu anggota (058) Jam Binti Ahmad 88 tahun . Urusan dirinya dijaga anak ketiga beliau Noriah Abdul Rahman di Taman Cempaka Ampang Selangor. Mempunyai 9 anak dan tinggal 6 yang masih hidup. Dua lelaki dan empat perempuan.

Sepanjang masa mengukir senyuman ketika bersama sama kami. Tempat tugasan terakhir Allahyarham suaminya di Kroh Perak. Mungkin Makcik Jam ada kesah cerita hidupnya sebelum beliau lupa apa yang berlaku disekitarnya. “Masih boleh berjalan dengan bantuan anaknya , cuma ingatannya kadang kala hilang dan lupa.


Di Ibu negara Kuala Lumpur kita amat teruja bertemu dengan anggota (240) Mark Sow Fong. “Saya suka dapat jumpa orang orang Kopketa, jauh datang ke rumah saya di sini”. Kata kata Sow Fong menyambut kami yang baru sampai ketika itu. Walaupun sudah berusia 89 tahun, tetapi keadaanya sangat sihat dan aktif.

Beliau juga tidak pernah “miss” menghadiri MAT Kopketa setiap kali berlangsung.

Sambil tu kita juga bertanyakan apa rahsianya kekal sihat dan bertenaga. Katanya beliau mengamalkan Tai Chi dua kali sehari, dilakukan sebelah pagi dan petang. Paling unik lagi makcik Sow Fong melakukan senaman tangan dengan ayunan pedang, orang kata macam
pedang samurailah. Dan setiap pagi sebaik bangun tidur beliau minum segelas air rendaman sayur bendeh yang dikerat kerat halus dan dimamah sekali. Katanya lendir pada sayur tu baik untuk lutut.

Tinggal di apartmen bersama anak bungsunya, dua lagi anak beliau di Sydney Australia. Kami tumpang bahagia melihat keadaanya , sihat aktif dan sentiasa positif.


Di Muar Johor kami ke kediaman anggota (140) Mohd Yusof Hassan 94 tahun. Beliau dijaga anak lelakinya Zakaria Mohd Yusof. Walaupun telantar uzur , namun ingatannya masih kuat. Selepas jelaskan kepadanya tujuan kehadiran kami dari Kopketa Kluang Johor, terus dengar suaranya menyebut Zainal dan Zainuddin, bekas bendahari dan setiausaha. Sambil berbaring Pakcik Yusof menadah tangan dan berdoa. Moga kami mendapat doa darinya.


Kami juga turut ziarah anggota (088) Abu Bakar Ali di Kampung Parit Setongkat Darat Sungai Abong Muar yang berusia 93 tahun. Beliau yang kematian isteri pertamanya tinggal di kediaman milik isteri kedua Hasnah Sentut @Othman .


Keadaan dirinya masih berupaya bangun berjalan tetapi ingatanya semakin lemah dan menghadapi masalah pendengaran.


Sekurang kurangnya kehadiran kami mengisi bilangan tetamu untuk mereka dan mewujudkan ruang waktu untuk bersenggang.


Biro Kebajikan dalam misi ziarah ini bersyukur diizinkan Allah dapat bertemu dengan generasi pertama Kopketa yang telah mengharung perit jerih kehidupan .Kami iringi doa agar semua anggota terutama yang berusia sentiasa dipelihara Allah dan dikurniakan kesihatan yang baik.


Saranan untuk semua agar sentiasa bertanggungjawab dan ambil tahu keadaan ayah dan Ibu kita ,ziarah dan hubungi mereka selalu.


“Kasih Ibu bawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa”.


ends…..Zainun Sulaiman

 Ismail Silong (111) berusia 89 tahun.