Lawatan Institut Koperasi Malaysia (IKMa)

Institut KOPERASI Malaysia IKMA sedia membuka ruang kerjasama dalam bidang pembangunan Insan dengan Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor KOPKETA. Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan IKMA Mohd Zaib Mat Yunus berkata sejajar pencapaian cemerlang Koperasi itu ia turut boleh dijadikan contoh kepada Koperasi lain untuk mencapai kecemerlangan . Beliau yakin KOPKETA mempunyai ruang dan potensi yang luas untuk bergerak lebih maju. Pencapaian cemerlang yang dikecapi Koperasi itu sejak ditubuhkan pada 1973, menjadikannya berjaya dirangkumkan dalam Koperasi terbaik bukan sahaja di negeri Johor  malah di seluruh negara.


Beliau bersama barisan pentadbiran IKMA mengadakan lawatan kerja ke pejabat KOPKETA di Impiana Square Kluang Johor. Lawatan itu turut disertai Pengarah Kanan Keusahawanan dan Perniagaan IKMA Puan Sri Datin Sri Noraesyah Saari , Pengarah IKMA Zon Selatan Hafizal Abu Bakar dan Penolong Pengarah Kanan Pejabat Ketua Pengarah Mazlan Ali serta petugasnya. Mereka dalam rangka lawatan meninjau beberapa Koperasi seluruh negara. 

Mohd Zaib turut kagum dengan barisan Ahli Lembaga Koperasi ALK KOPKETA yang sangat komited untuk menjayakan misi koperasinya bagi mencapai kejayaan cemerlang.
Dalam lawatan itu rombongan IKMA diberi taklimat oleh Pengurus Pentadbiran KOPKETA Mohd Saifuddin Ishak. Barisan ALK KOPKETA dihadiri pengerusinya Mohamed Nordin Ahmad, Ketua Biro Ladang Md Ali Ahmad, Ketua Biro Ekonomi Saiful Azni Abdul Rahim, Zainudin Mohamed dan Zainun Sulaiman. Turut sama Pengurus Projek PMG Jasniza Mujaro. Hadir sama Pengurus Ladang Mohd Hafifi Mohd Husain. 

Sebagai rekod, KOPKETA didaftarkan pada 23 Julai 1973, pada mula penubuhannya terdapat 322 anggota asal yang perlu membayar sejumlah RM 2,040.00 untuk menjadi anggota. Kerajaan negeri Johor ketika itu di bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Othman Saat meluluskan tanah seluas 3,067 ekar sebagai penghargaan kepada anggota polis yang berjuang menjaga keselamatan negeri Johor. Aktiviti utama KOPKETA antaranya dalam bidang perladangan , pelaburan ,stesen minyak dan sewaan bangunan. Pada 23 Julai 2023 KOKPETA menyambut jubli emas ke 50 tahun.

Oleh : Zainun Sulaiman
3 Julai 2023