Tel: 07-7764076 & 07-7764890 | Faks: 07-7765527
Emel : kopketa_4863@yahoo.com
Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor Berhad (KOPKETA) berjaya melakar kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburinya. Kejayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anggotanya, malah turut menyumbang kepada perkembangan gerakan koperasi di seluruh Malaysia, sekali gus menjadi contoh kepada koperasi luar bandar untuk bergerak seiring dalam mengejar kecemerlangan.
Sehubungan itu, KOPKETA disaran menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator – KPI) dengan menyasarkan kedudukan dalam kelompok 10 koperasi terbaik di Malaysia.
Saranan tersebut disampaikan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Johor, Nor Maizatul Akmal Ja’afar, ketika mengadakan lawatan kerja ke KOPKETA di Kluang, Johor.
Menurut beliau, KOPKETA menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi melalui idea serta pembaharuan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa, tanpa terlalu selesa dengan pencapaian sedia ada. Pendekatan ini diyakini mampu memberikan manfaat dan kebaikan yang lebih besar kepada anggota.
Tambah beliau, terdapat pelbagai elemen yang perlu dinilai dalam usaha mencapai kejayaan sesebuah koperasi. Antaranya termasuklah pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan koperasi yang berkuat kuasa bagi memastikan koperasi sentiasa bergerak pada landasan yang betul.
Beliau turut berharap agar KOPKETA terus mengekalkan identitinya dalam pembangunan hartanah sehingga berjaya membantu setiap anggotanya memiliki rumah sendiri.
“Ini pasti menjadi satu kebanggaan kepada gerakan koperasi di seluruh Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa SKM bersedia mempertimbangkan bantuan melalui tabung pinjaman kepada KOPKETA bagi membantu meningkatkan pendapatan koperasi. Menurut beliau, KOPKETA mempunyai potensi dan kelayakan untuk terus berkembang serta diyakini berada pada landasan yang betul.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi KOPKETA, Mohd Md Ali, berkata bagi tahun 2027, KOPKETA akan memberikan tumpuan kepada beberapa bidang pertumbuhan utama, iaitu peluasan rangkaian stesen minyak, penerokaan perniagaan runcit, pengembangan sektor perladangan, pembukaan perniagaan Ar-Rahnu serta pemerkasaan anggota.
Menurut beliau, usaha tersebut bertujuan membawa KOPKETA daripada kedudukan yang stabil kepada pertumbuhan yang lebih mampan dan berdaya saing.
Beliau menegaskan bahawa setiap kejayaan yang dicapai perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh anggota.
Antara inisiatif terkini ialah pelaksanaan Program Umrah dan Lawatan di bawah Biro Kebajikan KOPKETA. Kumpulan pertama telah menyempurnakan program tersebut pada 20 September hingga 1 Oktober 2026. Program berkenaan akan diteruskan secara berperingkat bagi memberi peluang kepada semua anggota untuk turut serta.
Selain itu, KOPKETA turut mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 20 peratus selama tiga tahun berturut-turut.
Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan bahawa Ahli Lembaga Koperasi (ALK) bersama-sama seluruh anggota akan terus berganding bahu dan berusaha untuk memastikan KOPKETA terus mencapai kejayaan serta berkembang dengan lebih cemerlang pada masa hadapan.
Selepas sesi ucapan, Nor Maizatul Akmal Ja’afar turut mengadakan lawatan ke premis Ar-Rahnu KOPKETA, stesen minyak Petron di Bandar Seri Impian serta meninjau tapak pembangunan Fasa 2 Bandar Seri Impian.
Turut menyertai lawatan kerja tersebut ialah Pegawai Wilayah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Kluang, Rosdi Senan beberapa kakitangan SKM Johor; barisan Ahli Lembaga Koperasi KOPKETA; Pengurus Pentadbiran KOPKETA, Roselinda Ahmad Daud; Pengurus Projek, Jasniza Mujaro; Pengurus Ladang, Mohd Hafifi Mohd Husain; serta Pegawai Keanggotaan, Nor Azrin Idayu Abd Razak.
Disediakan oleh:
Zainun Sulaiman
KOPKETA
