KLUANG, 31 Julai 2026

Majlis Perpisahan Mohd. Ariff Baharom

 

Suasana bertukar sayu apabila diumumkan majlis meraikan perpisahan Ketua Biro Stesen Minyak Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor (KOPKETA), Mohd. Ariff Baharom. Air mata mengiringi majlis ringkas namun penuh emosi yang diadakan bersempena Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Koperasi (ALK) Kali Ke-6 pada 16 Julai 2026 di Bilik Mesyuarat KOPKETA, Kluang, Johor.

Majlis yang sederhana tetapi penuh bermakna itu dianjurkan oleh Bahagian Pentadbiran KOPKETA sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Koperasi.

Dalam ucapan perpisahannya, Mohd. Ariff melahirkan keyakinan bahawa KOPKETA kini berada di landasan yang tepat untuk terus melakar kejayaan.

"Secara jujurnya, saya mengakui kita berada di landasan yang betul untuk membawa KOPKETA terus ke mercu kejayaan. Buanglah segala amalan yang tidak baik serta pastikan semua Ahli Lembaga Koperasi berada pada platform dan hala tuju yang telah dirancang.

Saya juga mengakui mempunyai satu pasukan yang sangat baik dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk berkongsi buah fikiran serta memberikan pandangan sepanjang menjadi Ahli Lembaga Koperasi."

Tambah beliau, pada usia sekarang tiada lagi perkara yang ingin dikejar. Namun begitu, beliau sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman dan memberikan pandangan sekiranya diperlukan demi kemajuan KOPKETA.

Mengimbau kembali penglibatan nya dalam ALK, Mohd. Ariff berkata penyertaannya sebagai calon Ahli Lembaga Koperasi bagi sesi 2023/2024 adalah hasil dorongan Ketua Biro Ekonomi, Mohamed Nordin Ahmad. Setelah menamatkan tempoh perkhidmatannya, beliau membuat keputusan untuk tidak bertanding semula bagi sesi 2026/2027.

Untuk rekod, Mohd. Ariff merupakan seorang pesara kerajaan yang pernah memegang jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Di KOPKETA pula, beliau pernah dilantik sebagai Juruaudit Dalaman Koperasi (JAD), Ahli Jawatankuasa PMC, Ahli Jawatankuasa Skim Perkhidmatan Kakitangan KOPKETA serta Ketua Biro Stesen Minyak dalam Ahli Lembaga Koperasi.

Mengakhiri ucapannya, beliau mendoakan agar semua Ahli Lembaga Koperasi sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dan terus memimpin KOPKETA ke arah kecemerlangan. Beliau turut berharap agar hubungan silaturahim yang terjalin akan terus berkekalan dan semua warga KOPKETA dapat dipertemukan lagi pada masa hadapan.

 

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Disediakan oleh:
Zainun Sulaiman
KOPKETA