Tel: 07-7764076 & 07-7764890 | Faks: 07-7765527
Emel : kopketa_4863@yahoo.com
Kluang Johor - 16 Mei 2026
Pelancaran X Park Bandar Seri Impian Kluang
Kerjasama strategik antara Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor KOPKETA dan Matrix Concepts Holding Berhad amat bermakna dalam merealisasikan pembangunan serta memacu pertumbuhan dan kemakmuran di Bandar Seri Impian Kluang Johor.
Pengerusi Matrix Concepts Holding Berhad Dato Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata kerjasama dan sokongan dua pihak itu membuktikan komitmen yang serius ke arah pembangunan bandar berkenaan secara berterusan.
Beliau menyatakan demikian semasa majlis pelancaran X Park Bandar Seri Impian, Kluang.
“X Park Bandar Seri Impian bukan sekadar kemudahan rekreasi, malah menjadi ruang komuniti yang menghimpunkan tenaga, pengalaman dan interaksi masyarakat setempat” jelasnya pada majlis pelancaran itu.
Katanya X Park Bandar Seri Impian adalah gabungan pelbagai aktiviti sukan dalam satu lokasi yang mampu mewujudkan suasana yang lebih bertenaga dan hampir dengan komuniti.
Jelasnya ia juga direka sebagai sebuah taman ekstrem moden yang bukan sahaja menawarkan kemudahan seperti go-kart, ATV, padang sasar golf, badminton dan pickleball. Lebih penting, inisiatif itu adalah kesinambungan kepada kejayaan X Park di Bandar Sri Sendayan untuk mewujudkan persekitaran yang holistik untuk komuniti.
Beliau turut menzahirkan kebanggaan apabila Bandar Seri Impian menerima “The Neighbourhood Award StarProperty Real Estate Developer Awards 2026”.
“Dengan pengiktirafan itu ia menjadi dorongan kepada pihaknya untuk terus memperkukuh pembangunan Bandar Seri Impian sebagai sebuah perbandaran yang lengkap dan berdaya maju”, jelasnya.
Beliau turut mengumumkan pihaknya dengan kerjasama KOPKETA sedang melangkah ke fasa seterusnya melalui pembangunan Bandar Seri Impian Fasa 2 yang merangkumi kawasan seluas 309 ekar. Pembangunannya memberi tumpuan kepada kehidupan berorientasikan keluarga.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu Pengasas dan Timbalan Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holding Berhad Dato Seri Lee Tian Hock, Pengerusi KOPKETA Mohd Bin Md Ali serta barisan Ahli Lembaga Koperasi KOPKETA.
Zainun Sulaiman........(KOPKETA)
